|
KONFLIK atau percanggahan pendapat bukanlah suatu perkara yang asing dalam sesebuah organisasi. Ia boleh terjadi di antara sesiapa sahaja, sama ada antara pekerja sesama pekerja, pekerja dengan seorang ketua atau antara ketua satu jabatan dengan jabatan yang lain.
Konflik boleh tercetus apabila pendapat, matlamat atau pandangan anda tidak selari dengan pihak yang lain. Dan ini mungkin terjadi oleh kerana terdapat perbezaan dari segi cara pendidikan, bimbingan dan persekitaran yang dilalui oleh setiap individu.
Kehadiran sesebuah konflik tidak semestinya bermakna organisasi sedang menuju kehancuran. Namun, jika dibiarkan konflik ini berlarutan, ia akan mengundang persekitaran yang tidak sihat dan kurang menyeronokkan.
Bayangkan apa akan terjadi jika seorang pengurus menghadapi konflik dengan pekerja beliau? Adakah tindakan seperti memulau pekerja, bermasam muka atau menyimpan dendam terhadap pekerja akan menyelesaikan konflik tersebut? Sudah tentu tidak!
Jadi, apakah yang seharusnya dilakukan untuk menangani konflik sebegini?
Bagaimana seseorang itu menangani sesebuah konflik banyak bergantung kepada cara mereka menilai matlamat yang ingin dicapai dan sejauh mana mereka menghargai perhubungan dengan pihak yang terlibat di dalam konflik tersebut.
Tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah ini juga bergantung kepada personaliti setiap individu yang terlibat di dalam konflik. Terdapat beberapa tindakan yang diambil bagi menangani konflik di tempat kerja:
Mengelak diri
Bagi seseorang yang tidak suka menghadapi konflik secara terbuka, mereka lebih senang beralah apabila berlaku konflik. Mereka sanggup mengenepikan pendapat mereka semata-mata untuk mengelak daripada berlakunya sebarang konflik.
Mereka tidak yakin konflik tersebut dapat diselesaikan dan jalan yang paling mudah bagi mereka adalah dengan melarikan diri daripada konflik berbanding mencari jalan untuk menyelesaikannya.
Tindakan ini mungkin boleh menyelamatkan dan meredakan keadaan buat sementara waktu tetapi belum tentu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana konflik tersebut mungkin akan timbul semula.
Menyerang
Bagi golongan yang bersifat agresif, mereka tidak akan mudah menyerah kalah kepada konflik. Mereka akan cuba menguasai keadaan dengan memaksa pihak yang terbabit dengan konflik tersebut supaya menerima pendapat mereka.
Bagi golongan ini, matlamat yang ingin mereka capai lebih penting daripada soal perhubungan. Mereka akan melakukan apa sahaja asalkan pandangan mereka diterima dan matlamat mereka tercapai. Mereka tidak peduli kepada keperluan pihak yang lain dan mereka juga tidak peduli sama ada pihak lain menerima atau tidak cadangan mereka.
Mereka menganggap konflik atau perbalahan tamat dengan kemenangan bagi satu pihak dan kekalahan bagi pihak yang lain. Dan sudah tentu mereka mahu berada di pihak yang menang. Bagi mereka, kemenangan adalah lambang kekuasaan.
Kekalahan pula menunjukkan kelemahan, kekurangan dan tanda kegagalan dan tidak pernah wujud di dalam kamus hidup mereka.
Mengalah
Ada juga golongan yang lebih menghargai perhubungan sesama insan daripada matlamat yang ingin dicapai. Apabila berlaku konflik, golongan ini akan mudah mengalah dan memberi laluan kepada pihak yang terbabit dengan konflik. Demi menjaga hubungan tersebut, mereka dengan rela hati menerima sahaja cadangan yang diutarakan walaupun sebenarnya mereka tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Mengambil jalan tengah
Golongan ini pula bersifat sederhana dan tidak terlalu ekstrem. Walaupun mereka tidak mahu mengalah terus, namun mereka juga menghargai keharmonian dan tidak mahu perhubungan di antara mereka dengan pihak yang terlibat tergugat.
Mereka lebih suka mengambil jalan tengah dengan cara bertolak ansur sesama mereka. Mereka sanggup memberi sedikit laluan kepada pihak yang bertentangan pendapat dengan syarat mereka juga mengambil tindakan yang sama.
Dua-dua pihak menang
Golongan yang terakhir ini pula menghargai kedua-dua perkara; pendapat mereka dan juga perhubungan antara pihak yang terlibat dalam konflik.
Bagi mereka, konflik boleh diatasi dan akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikannya, tanpa perlu mengorbankan pendapat dan pandangan masing-masing.
Mereka melihat konflik dari sudut positif dan memilih jalan penyelesaian melalui perbincangan secara rasional tanpa perlu bertelagah dengan panjang lebar. Namun, jika cara ini juga tidak tercapai, maka cara terakhir yang boleh anda lakukan adalah dengan mendapatkan pendapat orang ketiga yang dipilih dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berada dalam konflik.
Pihak ketiga harus memberi buah pandangan yang bernas dan membantu untuk menyelesaikan konflik dan mengelak ia daripada terus berlarutan.
No comments:
Post a Comment