Pelantikan wanita sebagai wakil rakyat juga bukan hanya berdasarkan kepada kepetahan berbicara dan berceramah tetapi ia perlu merangkumi keseluruhan aspek berkaitan dengan kepimpinan, pentadbiran dan tingkah laku dalam mengendalikan soal kemasyarakatan.
Wanita yang melibatkan diri dalam politik atau mewakili Parlimen perlu memiliki kebijaksanaan dalam mengendalikan urusan kemasyarakatan. Pangkat atau sijil akademik yang tinggi bukan merupakan satu penilaian terhadap kebolehan seseorang wanita layak menjadi wakil rakyat.
Ilmu pengetahuan yang tinggi jika tidak disertai dengan ilmu kemasyarakatan dan jiwa cintai rakyat tidak mungkin dapat menjadikan seorang wanita itu ahli politik yang dihormati dan disanjung oleh masyarakat.
Penglibatan beliau dalam arena politik dan kepimpinan bukan saja menyebabkan usaha kerajaan untuk membangun kawasan terpencil terbantut malah boleh menimbulkan kebencian masyarakat terhadap pucuk kepimpinan negara kerana tersilap memilih wakil Parlimen di kawasan mereka.
Apabila wakil Parlimen wanita gagal menunjukkan prestasi kepimpinan maka masyarakat akan curiga terhadap kebolehan wanita dalam kepimpinan. Islam amat serius terhadap pelantikan wanita sebagai wakil rakyat. Kekuatan fizikal, mental dan keperibadian yang mulia merupakan faktor utama dalam pemilihan wanita sebagai wakil rakyat.
Kecantikan fizikal wanita bukan menjadi ukuran untuk menentukan seseorang wanita itu amat berpengaruh dalam masyarakat. Jika ini dijadikan sebagai satu penilaian dalam pelantikan wanita sebagai wakil rakyat dan Parlimen maka akan berlaku kepincangan dalam kepimpinan negara.
Wakil rakyat ialah orang yang terlalu sibuk menumpukan perhatian kepada permasalahan masyarakat bukan orang yang terlalu gemar memperagakan fesyen pakaian dan barang kemas untuk menonjolkan kecantikan sebagai alat untuk mengabur pandangan masyarakat. Jika kriteria begini dipilih sebagai wakil rakyat dan Parlimen maka setiap usaha kerajaan untuk membangun kawasan terpencil akan gagal walaupun kerajaan memperuntukkan berjuta ringgit untuk pembangunan rakyat.
Wanita yang gagah dan mempunyai pemikiran yang setaraf dengan lelaki dalam hal kepimpinan dan kemasyarakatan sahaja yang layak untuk dijadikan wakil rakyat kerana peranan wakil rakyat adalah terlalu berat.
Penglibatan wanita dalam arena politik bukan sahaja dinilai oleh masyarakat tempatan malah ia juga merupakan penentu kepada syurga dan neraka di hari Akhirat. Oleh itu wanita yang melibatkan diri sebagai wakil rakyat perlu muhasabah diri sebelum menerima jawatan yang ditawarkan. Ini penting supaya maruah diri sebagai wanita unggul dan bijaksana tidak tercabar apabila dikutuk dan diherdik oleh masyarakat tempatan kerana kebencian masyarakat terhadap keperibadiannya tidak dapat dikawal.
Wanita yang tidak berjiwa rakyat tidak sepatutnya dilantik menjadi wakil rakyat kerana tidak mungkin beliau dapat mengutarakan permasalahan rakyat dalam Parlimen. Ini disebabkan hati nuraninya lebih tertumpu kepada kemasyhuran dan kedudukan. Oleh itu pergaulan beliau dengan masyarakat adalah terhad kerana tujuan beliau memegang jawatan wakil rakyat hanyalah merupakan batu loncatan untuk meletakkan diri dalam senarai para pemimpin yang diberi segala kemudahan oleh negara.
Wanita yang menunjukkan ciri-ciri kepimpinan bukan hanya terdiri daripada wanita yang memperoleh ijazah kedoktoran dan sebagainya. Hasil kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh wanita terpelajar itu perlu dinilai sama ada bidang kajiannya itu berkaitan dengan hal ehwal kemasyarakatan atau hanya di persekitaran teori yang hanya terdapat dalam buku-buku sahaja. Kebijaksanaan seseorang wanita itu bukan terletak pada ijazah kedoktoran yang dimilikinya tetapi ia merangkumi aspek bagaimana seseorang wanita itu berjaya mengendalikan urusan pekerjaan sehariannya berkaitan dengan kemasyarakatan.
Tokoh-tokoh politik yang terdahulu tidak memiliki ijazah kedoktoran tetapi mereka mampu membangun Malaysia sehingga menjadi sebuah negara membangun yang maju. Kebijaksanaan mereka dalam mengendalikan urusan kepimpinan negara adalah berdasarkan kepada keperibadian, keikhlasan, ketekunan, kegigihan dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat, pengorbanan dan kecintaan terhadap rakyat dan negara.
Berdasarkan kepada kriteria yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin seperti dijelaskan maka wanita yang mempunyai keegoan yang tinggi dan gemar memperlekeh dan memandang rendah terhadap masyarakat di bawah kepimpinannya tidak layak untuk dijadikan wakil rakyat.
Beliau tidak mungkin dapat membangun kawasan yang diamanahkan oleh rakyat dan kerajaan kepadanya kerana jiwa dan pemikirannya tersemat perasaan benci dan penghinaan walaupun kerajaan memperuntukkan kewangan yang banyak untuk kawasan tersebut.
Jika perkara ini tidak ditangani secara tegas oleh pucuk kepimpinan negara maka usaha kerajaan dan reputasi parti politik akan terjejas. Oleh itu wanita perlu mengkaji kebolehan diri terlebih dahulu sebelum menjawat jawatan wakil rakyat.
No comments:
Post a Comment