Tuesday, December 4, 2007

Kisah kecemerlangan PTD


PERKHIDMATAN awam terawal di negara ini ialah Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Selat (SS) dan seterusnya diikuti oleh penubuhan Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS).
Pada awalnya Perkhidmatan Awam SS dan FMS dimonopoli oleh orang-orang Eropah memandangkan British berpendapat orang Melayu tidak mampu melakukan kerja-kerja pentadbiran. Pada tahun 1921, SS dan FMS digabungkan menjadi MCS.
Skim perkhidmatan khas untuk anak-anak Melayu dalam pentadbiran awam hanya bermula pada tahun 1910 melalui penubuhan `Malay Assistant Service’.
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada mulanya ditubuhkan sebagai institut elit bagi golongan bangsawan yang ingin menyertai perkhidmatan awam. Bagaimanapun, sedikit demi sedikit, MCKK membuka pintu kepada anak-anak Melayu yang berpotensi untuk diserapkan di dalam perkhidmatan awam melalui pengenalan `Malay Assistant Service’.
Selepas melalui beberapa penambahbaikan kepada skim sedia ada, secara rasminya MAS diperkenalkan pada tahun 1929 bagi memberi peluang kepada pegawai-pegawai Melayu yang cemerlang untuk menjawat gred jawatan lebih tinggi.
Pada tahun 1929, MCS ditubuhkan bagi menggabungkan Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada mulanya, MCS hanya dilantik di kalangan orang Eropah yang berpendidikan tinggi. Walau bagaimanapun, selepas perang dunia pertama, MCS menjadi kurang kompetitif berbanding ‘Home Civil Service’ atau ‘Indian Civil Service’ kerana gajinya sedikit.
Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah kekurangan pegawai dan sebagai langkah penjimatan, sedikit demi sedikit pegawai MAS yang layak dan berkaliber diserapkan ke dalam MCS.
Penaklukan Jepun pada 1941 telah membantutkan sementara perkembangan perkhidmatan awam di Malaya pada ketika itu. Walau bagaimanapun, pihak pentadbiran tentera Jepun memanggil semula pegawai MCS berketurunan Melayu untuk mentadbir daerah-daerah yang tidak lama selepas penaklukan tersebut untuk memastikan urusan pentadbiran awam dapat dijalankan dengan lancar.
Selepas Jepun menyerah kalah, perkhidmatan awam di Malaya dipertingkatkan sedikit demi sedikit. Proses penambahbaikan perkhidmatan awam Malaya itu turut melalui peristiwa-peristiwa penting seperti darurat, penubuhan Malayan Union, penubuhan Tanah Melayu dan perisytiharan kemerdekaan.
Perkhidmatan Luar Negeri (Foreign Service) bermula pada tahun 1954 apabila Bahagian Hubungan Luar ditubuhkan di bawah Pejabat Ketua Setiausaha Malaya. Para peringkat permulaan, dua orang pegawai MAS yang telah diserapkan ke MCS, telah dilatih untuk menjadi pegawai perkhidmatan luar negeri dan dihantar ke United Kingdom di bawah kelolaan British Foreign Office untuk menjalani latihan.
Selepas penubuhan Malaysia, perkhidmatan luar negeri telah digabungkan dengan MCS untuk menjadi Malaysian Home and Foreign Service dan seterusnya ditukar kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) Malaysia.
Sebagai penutup, buku ini sesuai dan wajar untuk dibawa oleh pegawai-pegawai muda PTD. Kandungan buku ini dapat menambah pengetahuan dan pemahaman mereka tentang hala tuju PTD pada masa dahulu, sekarang dan hadapan. PTD wajar menghayati petikan laporan Persidangan Perlembagaan Tanah Melayu di London pada tahun 1956 seperti berikut:
‘‘Perkhidmatan awam yang cekap dan berketerampilan merupakan asas kepada pentadbiran kerajaan yang berkesan.
‘‘Perkara ini terpakai bagi setiap peringkat penggubalan Perlembagaan, khususnya pada ketika berhadapan dengan perubahan politik yang mendadak.
‘‘Seorang menteri itu seharusnya menerima pakai maklumat dan syor/saranan daripada pegawai yang berpengalaman sebelum membuat keputusan mengenai sesuatu dasar.
‘‘Mereka juga seharusnya boleh bergantung kepada pegawai-pegawai mereka, untuk melaksanakan dasar yang telah diputuskan tersebut dengan penuh ketaatan, cekap dan pantas.
‘‘Oleh yang demikian, perkara utama dalam memastikan kecekapan pentadbiran kerajaan ialah dengan mengiktiraf dan mempertahankan perkhidmatan awam yang berkecuali.’’

No comments: