Sunday, December 2, 2007

Penarafan THES-QS


Mulai 2004, setiap tahun pada bulan Oktober, akhbar The Times di United Kingdom melalui Times Higher Education Supplement (THES-QS) mewartakan penarafan universiti di dunia mengikut kriteria yang mereka rasakan sesuai. Rakyat Malaysia pun menjadi gempar setiap tahun mulai tahun itu kerana THES-QS menyiarkan berita bahawa tahun demi tahun universiti-universiti di Malaysia semuanya turun taraf.
Penulis pernah berbincang panjang lebar dengan naib-naib canselor di Eropah, Amerika, Australia dan New Zealand mengenai penarafan THES-QS ini. Kesemuanya berpendapat bahawa penarafan yang dibuat oleh akhbar seperti THES-QS sepatutnya tidak boleh dilayan secara serius, kerana kaedah yang digunakan tidak boleh dipakai untuk semua universiti dalam dunia ini.
Ini kerana setiap universiti di dalam setiap negara mempunyai penekanan yang berbeza mengikut kehendak negara itu sendiri bagi memenuhi hasrat rakyat masing-masing.
Salah satu kriteria yang digunakan oleh THES-QS ialah berkaitan dengan pengrekrutan pelajar dan kakitangan akademik dari negara asing. Ini bermakna sesebuah universiti yang mempunyai ramai pelajar dan kakitangan akademik dari negara asing akan mendapat markah yang lebih tinggi daripada universiti yang mempunyai kurang pelajar dan kakitangan akademik asing atau yang tiada langsung.
Apakah ini sesuai untuk negara-negara sedang membangun yang memerlukan seberapa banyak rakyatnya menuntut di universiti, sedangkan jumlah tempat di universiti tidak cukup? Apakah kelayakan-kelayakan pelajar luar negara ini setaraf dengan kelayakan anak-anak kita yang memasuki universiti tempatan?
Membangun
Apakah kakitangan akademik yang handal dari luar negara sanggup datang berkhidmat di negara membangun sedangkan upahnya tidak sebegitu lumayan apabila dibandingkan kalau mereka ke negara maju?
Memang ada ramai kakitangan dari luar negara yang mahu bekerja di negara membangun, tetapi ramai daripada mereka ini tidak mempunyai kepakaran yang boleh melebihi yang sedia ada. Ramai daripada mereka tidak pun mempunyai peluang untuk bekerja di negara mereka sendiri.
Kalau orang semacam ini diambil untuk berkhidmat tentulah markah yang lebih akan diberikan oleh THES- QS kepada universiti berkenaan, tetapi adakah perkhidmatan mereka itu akan memuaskan hati dan menepati kehendak kita? Janganlah nanti jadi macam Pak Kaduk; ayamnya menang tetapi kampungnya tergadai.
Kita mesti sedar bahawa kiteria yang diguna pakai oleh THES-QS itu dibuat oleh negara Barat yang tidak mengambil kira negara membangun dan negara tidak membangun. Kriteria lain yang diguna pakai oleh THES-QS juga kurang sesuai untuk diaplikasikan kepada negara-negara membangun dan tidak membangun:
i) Penilaian kesepakaran
Ini adalah mengenai pemungutan pendapat dari segelintir ahli akademik dari seluruh dunia bagi mendapatkan maklum balas berkenaan pendapat mereka tentang kehebatan universiti di dunia. Tentunya akan terdapat banyak unsur memihak dan ketidakadilan apabila ahli akademik yang diundang ini banyak diambil dari negara maju. Saya sendiri mengenali seorang profesor kanan yang terkenal di peringkat antarabangsa di sebuah universiti di Malaysia yang walaupun telah berkhidmat selama tiga puluh dua tahun dan telah menjadi profesor selama dua puluh tahun dan telah memegang jawatan-jawatan ketua jabatan, timbalan dekan, dekan, timbalan naib canselor dan naib canselor, tetapi tidak pernah diundang untuk mendapatkan maklum balas bagi tugas penilaian kesepakaran oleh THES-QS. Walaupun ini bukan bermakna orang lain tidak diundang, tetapi kenapakah orang sebegini terkemuka di Malaysia tidak diundang?
ii) Penilaian majikan
Penilaian ini dibuat berdasarkan maklum balas daripada hanya beberapa institusi pekerjaan mengenai graduan dari universiti manakah mereka mahu ambil sebagai pekerja. Kebanyakan pihak majikan dipilih dari negara maju. Persoalannya adakah institusi ini akan memberi sebarang maklum balas untuk universiti-universiti di Malaysia atau negara-negara membangun sebagai pilihan mereka.
Di dalam penilaian THES-QS tahun 2007, Universiti Harvard, Cambridge, Oxford, LSE dan banyak lagi dari negara Barat mendapat 100 (markah penuh), manakala banyak universiti yang tidak menggunakan bahasa Inggeris mendapat markah rendah seperti di Jerman, Belgium dan Perancis (Humboldt Berlin 38 markah; Freie Berlin 16; Freiburg 23; Pierre Marie Curie 5; Antwerp 7; Ghent 38).
iii) Fakulti antarabangsa
Kriteria ini merujuk kepada jumlah kakitangan akademik asing yang berkhidmat di universiti. Dalam hal ini Harvard mendapat 93 markah, Cambridge 98, National Univ. Singapura 100 (di mana 50 peratus tenaga akademiknya sementara 75 peratus pakar penyelidik atau saintisnya adalah dari luar). Terdapat beberapa perkara yang agak sukar untuk menarik ahli akademik dan penyelidik terkemuka untuk bekerja di Malaysia antaranya ialah tawaran gaji.
Sekalipun kita mampu untuk membayar gaji mereka, adakah kita sanggup mengetepikan orang kita sendiri? Walaupun begitu banyak universiti yang tersenarai dalam 200 terbaik mempunyai kakitangan asing yang rendah bilangannya (MIT 34; Columbia 34; Duke 16; Stamford 25; Osaka 29; Seoul 24).
Ini bermakna kehadiran kakitangan akademik asing di sesebuah universiti tidaklah menjadi perkara penting. Kita di Malaysia jangan terlalu ghairah untuk melakukan ini.
iv) Pelajar antarabangsa
Kriteria ini adalah berkaitan dengan pelajar asing. Semakin tinggi jumlah penuntut asing di satu-satu universiti, semakin tinggi markahnya untuk kriteria ini. Harvard, Cambridge, Oxford dan banyak lagi universiti mendapat markah lebih daripada 90.
Di samping itu juga adalah menjadi dasar negara kita untuk tidak mengambil lebih daripada beberapa peratus sahaja penuntut asing untuk mengikuti pengajian ijazah dasar di universiti awam.
Perkara ini dilakukan untuk menjaga kebajikan rakyat Malaysia. Adalah penting bagi satu-satu universiti itu untuk memastikan tugas utamanya mendidik warganegara sendiri. Prinsip ini jangan dikorbankan semata-semata kerana mahukan markah dalam kriteria ini.
Lalu bagaimana dengan lambakan pelajar Malaysia yang dikirim ke luar negara untuk belajar di universiti di sana? Mereka ini turut menyumbangkan markah yang baik bagi universiti luar negara tempat mereka belajar itu.
v) Pelajar/fakulti
Kriteria ini adalah berkaitan dengan nisbah pensyarah kepada penuntut. Kebanyakan universiti tidak dapat memenuhi nisbah yang dikehendaki kerana kita mempunyai ramai pelajar.
Sehingga kini masalah ini agak ketara kerana banyak ahli akademik berpindah ke sektor swasta kerana sebab-sebab tertentu yang mereka senangi. Selain itu ialah umur pencen yang awal berbanding dengan umur pencen bagi ahli akademik di negara-negara lain. Umpamanya di Malaysia umur pencen adalah 56 tahun sedangkan negara seperti Britain, Amerika Syarikat, New Zealand, Singapura, Indonesia dan banyak lagi mempunyai umur pencen yang lebih lanjut. Fakta ini menyumbang kepada nisbah pensyarah kepada penuntut yang lebih selesa.
Markah
vi) Markah fakulti/penerbitan
Kriteria ini adalah berkaitan dengan situasi yang dibuat oleh ahli akademik terhadap penerbitan yang diterbitkan oleh seseorang ahli akademik yang lain. Dalam penarafan THES-QS tahun 2007, universiti-universiti yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar seperti California Inst. Tech (kedudukan ketujuh) mendapat 100 markah (markah penuh), Harvard (1) mendapat 96 markah, MIT (10) mendapat 98 markah. Universiti yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar seperti Peking (36) dapat 53 markah, Tsinghua (40) dapat 59, Autonoma Mexico (192) dapat 13, Bologna (173) dapat 62 sementara Karlsruhe Germany (171) dapat 59.
Bilangan universiti dari negara yang bukan berteraskan bahasa Inggeris hanya mampu mendapat segelintir sahaja tempat dalam senarai 200 THES-QS. Contohnya: Portugal 0, Sepanyol 1, Norway 1, Itali 2, Sweden 3, Denmark 3, Belgium 4, China 4, Perancis 5.
Tidak ada satu pun universiti dari India, Rusia dan Asia Tenggara (kecuali Singapura). Ini menggambarkan bahawa ahli akademik dari negara ini kurang menulis di dalam bahasa Inggeris yang akhirnya jarang dibaca hasil tulisan mereka.
Pada tahun 2004, Universiti Malaya (UM) mendapat 0 di dalam kategori ini. Pada tahun 2005, UM mendapat 1 markah setanding dengan London School of Economics (kedudukan 11), Tsing hua (62), Fudan (72), MIT (82), Univ. Tech. of Sydney (87), China Univ. Sci. & Tech. (93), Curtin, Nanjing, Korea dan Peking (15), National Auto. Mexico (95), Chulalongkorn (12), Shanghai Jiao Tong, Toulouse (1).
Pada masa itu staf UM menerbitkan karya ilmiah mereka dalam pelbagai bahasa termasuk Melayu, Arab, Cina dan Inggeris. Oleh yang demikian markah untuk kriteria ini agak rendah.
Umur persaraan perlu sekali lagi diberi perhatian. Di Malaysia, kita bersara pada umur 56 tahun, sedangkan di negara Barat, umur persaraan profesor ialah 65 tahun atau lebih. Perbezaan 10 hingga 15 tahun dari segi umur persaraan banyak memberi perbezaan dari jumlah penerbitan yang dihasilkan. Hal ini kerana pada waktu tersebut profesor berada di puncak penobatan ilmu.
Sesungguhnya ramai rakyat Malaysia yang telah belajar di universiti luar negara dari dulu sampai sekarang, dan kini telah menjadi orang berjawatan tinggi dan penting dalam negara ini. Melihat kepada senarai 200 universiti yang terbaik oleh THES-QS itu, apakah universiti alma mater mereka termasuk dalam senarai itu?
Bukan THES-QS sahaja yang telah membuat penarafan kedudukan universiti di dunia. Ada badan-badan lain yang turut berbuat demikian, antaranya Shanghai Jiao Tong University (SJTU), James Cook University (JCU), Asia
week 2000 (AW), Melbourne Institute Index International (MIII) dan banyak lagi. Kriteria yang diguna pakai oleh badan-badan penilai ini adalah berbeza mengikut kehendak masing-masing. Oleh itu kedudukan sesuatu universiti tidak sentiasa sama mengikut penarafan yang dibuat oleh badan-badan ini.
Pada bulan Oktober tahun ini Kementerian Pengajian Tinggi telah mengeluarkan penarafan yang dikenali sebagai ARES yang meletakkan USM sebagai universiti berbintang lima, sedangkan UM hanya berbintang empat. Tetapi di dalam masa yang sama THES-QS telah meletakkan USM di tangga 307 dan UM pada 246. ARES dan THES-QS tidak menggunakan kriteria yang sama. Di sini jelaslah bahawa penarafan-penarafan yang dibuat oleh badan-badan berlainan akan menghasilkan keputusan yang bukan hanya berlainan tetapi amat berbeza. Masih lagikah kita boleh meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada keputusan penarafan yang dibuat tidak mengikut kriteria yang sesuai bagi semua universiti?
Tetapi walau apa pun penarafan yang telah dibuat oleh badan-badan luar, kita tidak seharusnya merasakan bahawa universiti-universiti kita tidak mempunyai kekuatan. Bayangkan betapa di dalam dunia ini ada ebih kurang 30,000 universiti, dan mengikut THES-QS 2007, UM menduduki tangga 246, UKM dan USM 307, UPM 364 dan UTM 415. Bukankah ini kedudukan yang sangat tinggi dan berprestij daripada 30,000 universiti-universiti yang ada dalam dunia ini?
Rusia ialah negara besar yang membawa angkasawan kita Syeikh Muszaphar Shukor ke angkasa lepas. Rusia juga telah berjaya sampai ke bulan, tetapi tidak ada sebuah pun universiti dari Rusia yang tersenarai dalam 200 universiti terbaik THES-QS. Mengapa? Fikirkanlah.

1 comment:

Tolahah said...

Woooo... panjangnya karangan. Tapi best! ada fakta. Kalau boleh adakan perenggan lagi bagus. Rajin-rajinlah menulis, lain kali lepas bersara boleh jadi penulis pulak.