Tulisan Oleh : Usraz Zahazan UIAM
Dari Abi Abdillah an-Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, dan di antara keduanya ada perkara yang samar-samar (syubhat), kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Maka barang siapa menjaga dirinya dari perkara yang syubhat itu, bererti dia telah membersihkan agama dan kehormatan dirinya, dan barangsiapa yang melakukan perkara syubhat itu, dia telah jatuh ke dalam perkara yang haram; seperti pengembala yang berada berhampiran dengan batas sempadan kawasan gembalaan (milik orang lain ),dibimbangi (jika dia tidak berundur ke tempat yang lebih selamat )lambat laun dia akan termasuk ke dalamnya (secara tak sengaja ). Ingatlah, bahawa setiap raja ada larangannya dan ingatlah, bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamkanNya. Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada seketul daging, jika dia baik, baiklah jasad seluruhnya; jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati.( HR al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud )
HURAIAN
Hadis ini merupakan salah satu pokok syari’at Islam. Abu Dawud As Sijistani berkata: “Islam bersumber pada empat Hadis, diantaranya adalah Hadis ini”. Para ulama telah sepakat atas keagungan dan banyaknya manfaat Hadis ini.
Sebahagian ulama berpendapat: Syubhat itu ada tiga bentuk iaitu: Pertama, sesuatu yang sudah diketahui oleh manusia tentang pengharamannya tetapi orang itu ragu apakah masih tetap haram atau tidak. Misalnya, makan daging haiwan yang tidak diketahui dengan pasti penyembelihannya, maka daging haiwan seperti ini menjadi haram kecuali kalau terbukti dengan yakin telah disembelih. Dasar yang perlu dipegang dalam kes ini adalah Hadis ‘Adi bin Hatim seperti yan dijelaskan di atas.
Kedua, sesuatu yang halal tetapi masih diragukan kepastian halalnya, seperti seorang lelaki yang mempunyai isteri, namun diaragu-ragu apakah dia telah menjatuhkan thalaq kepadanya atau belum.Hal-hal seperti ini pada dasarnya adalah harus sampai diketahui dengan pasti haramnya. Dasarnya adalah Hadis ‘Abdullah bin Zaid yag ragu-ragu tentang apakag wudhuknya sudah terbatal, padahal sebelumnya dia yakin masih dalam keadaan suci.
Ketiga, seseorang ragu-ragu tentang sesuatu dan tidak tahu apakah hal itu halal atau haram dan kedua kemungkinan ini sama-sama boleh terjadi, sedangkan tidak ada petunjuk yang menguatkan salah satunya. Hal seperti ini lebih baik dijauhi, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. pernah melakukannya pada kurma yang jatuh yang beliau temui di rumahnya, lalu beliau bersabda:
“Kalau saya tidak takut kurma ini dari kalangan zakat, tentu saya telah memakannya.”
Adapun orang tidak mengambil sikap berhati-hati yang berlebihan, seperti tidak mahu menggunakan air bekas yang ternyata masih suci kerana bimbang telah terkena najis, atau tidak mahu solat di suatu tempat itu ada kerana terfikir terdapat bekas air kencing yang sudah kering, atau mencuci pakaian yang masih bersih kerana bimbang terkena najis yang tidak diketahuinya, dan sebagainya. Sikap seperti ini tidak perlu diikut, sebab ia adalah berlebih-lebihan yang dipanggil dalam istilah syarak sebagai was-was dan bisikan syaitan,. Wallaahu a’lam.
No comments:
Post a Comment